Mereka yang tidak mengalami masalah kewangan disaran agar tidak membuat pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi kemudahan i-Citra.

Pakar ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, KWSP merupakan satu pelaburan jangka panjang yang sangat berbaloi, maka ia tidak patut diusik bagi tujuan tidak penting.

“Manfaat simpanan (KWSP) lebih tinggi berbanding menyimpan di bank.

“Ada yang mampu menyimpan sehingga jutaan ringgit. Jadi selepas bersara mereka hanya menggunakan faedah tanpa perlu mengusik simpanan pokok,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Semalam tular di media sosial mengenai cadangan netizen individu yang patut dan tidak patut mengeluarkan simpanan KWSP dan moratorium automatik.

Mereka yang pendapatan tidak terjejas dan mempunyai simpanan kecemasan bagi tempoh enam sehingga 12 bulan dicadangkan supaya tidak menggunakan kemudahan itu.

Barjoyai berkata, bagi yang terdesak, mereka boleh menggunakan kemudahan itu dengan sasaran menambah semula simpanan apabila kewangan stabil kelak.

Tambah beliau, bagi kemudahan moratorium automatik pula, orang ramai disaran mengambil kira kadar faedah atau lanjutan masa sebelum membuat sebarang keputusan.

Penganalisis Ekonomi Bebas, Dr. Baayah Baba pula berkata, mereka yang kesempitan wang disaran mengeluarkan simpanan i-Citra.

Kata beliau, kemudahan itu sangat membantu bukan sahaja kepada ahli yang terkesan, tetapi juga ekonomi negara.

“Bagi mereka yang kewangannya tidak terjejas adalah lebih elok sekiranya wang KWSP tidak diusik dan dijadikan pelaburan masa depan.

“Kemudahan moratorium automatik pula wajar diambil ke­sempatan oleh semua yang layak terutama golongan yang berada dalam kesulitan,” ujar beliau.

BERITA
Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published.