Dewan-Undangan-Negeri-DUN-Perak-Bernama

Mohsin-Abdullah-kolumnis-newDewan-Undangan-Negeri-DUN-Perak-Bernama

Ia mengundang pelbagai persoalan. Saya merujuk berita yang mengatakan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, akan menghadapi usul undi percaya di Dewan Undangan Negeri.

Speaker Mohamad Zahir Abdul Khalid diberitakan berkata beliau membenarkan usul undi percaya itu dimasukkan ke dalam agenda mesyuarat dan akan dibahaskan pada sidang DUN yang dijadual bermula Jumaat.

Agensi berita Bernama pula memetik Zahir sebagai berkata usul undi percaya terhadap menteri besar Perak bukanlah sesuatu yang dianggap janggal.

.Usul yang akan dikemukakan Adun Pengkalan Baharu, Abd Manaf Hashim, adalah “mengikut Perintah Perintah Tetap DUN Perak dan menemui agenda mesyuarat yang telah ditetapkan”.

Persoalan pertama yang timbul, mengapa usul itu dibawa Manaf? Benar ia “sekadar” usul undi percaya, bukan usul undi tidak percaya, seperti yang dijelaskan Speaker.

Namun seperti yang saya pernah tulis diruangnan ini pada artikel lalu, pakar perundangan menyifatkan kedua-duanya iaitu undi percaya dan undi tidak percaya adalah sama. Dalam kes yang diperkatakan ini ia menguji menteri besar Perak sama ada beliau punyai sokongan majoriti ADUN atau sebaliknya. Maksudnya ia boleh menyaksikan menteri besar kekal atau terpaksa meletak jawatan.

Persoalan timbul kerana bukan lah satu rahsia besar UMNO tidak senang dengan PPBM. Baik peringkat pusat mahu pun peringkat negeri. Faizal selaku menteri besar ialah juga timbalan presiden PPBM manakala Manaf yang mengemukakan usul orang UMNO. Begitu juga speaker. Ini sekadar menyatakan fakta.

Usul percaya walau pun bertujuan menyokong kerap dilihat sebagai satu langkah “sokong bawa rebah”. Lalu tidakkah dengan mengemukakan usul ini dan ia pula dibenar untuk dibentang malah dibahaskan, meletakkan menteri besar dalam keadaan ‘tertekan’?

UMNO atau BN ada 25 kerusi dalam DUN Perak berbanding 6 milik PPBM. Lantas terbit spekulasi dalam kalangan ahli politik bahawa usul percaya itu adalah langkah UMNO untuk menggulingkan Faizal, orang nombor dua PPBM.

UMNO dan PPBM sehingga kini tidak membuat apa-apa komen, dan spekulasi itu semakin rancak dperkatakan.

Beralih ke Dewan Rakyat. Kita tahu ada usul undi tidak percaya dan juga undi percaya dikemukakan masing-masing oleh pembangkang dan penyokong (wakil UMNO dan PAS) terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Namun Speaker Azhar Harun beberapa kali menegaskan usul-usul itu tidak dapat dibentang (apa lagi dibahaskan), kerana mengikut peraturan persidangan Dewan hal ehwal atau urusan kerajaan mesti didahulukan berbanding lain-lain perkara.

Menurut pakar, peraturan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri ada yang sama ada yang beza. Ertinya ada peruntukan atau “provision” berbeza. Tetapi, kata beliau, peruntukan yang menyatakan urusan kerajaan mesti diutamakan daripada hal-hal lain adalah sama.

Maksudnya baik di Dewan Rakyat mahu pun DUN urusan kerajaan diberi keutamaan. Maka timbullah persoalan mengapa DUN Perak boleh membenarkan usul undi percaya dibentang dan dibahaskan walaupun kedua-dua Dewan tertakluk peraturan yang sama? Ditanya pada sudut lain, kalau pada peringkat negeri boleh mengapa tidak peringkat persekutuan?

Menurut Bernama, persidangan DUN Perak bermula Jumaat ini menyaksikan pembentangan Belanjawan Perak 2021 sebelum persidangan bersambung Selasa depan (8 Disember).

Ia dibentangkan menteri besar dan akan dibahaskan selama dua hari. Adakah itu akan didahulukan berdasarkan keutamaan urusan kerajaan? Belanjawan sememangnya urusan kerajaan. Atau usul undi percaya dibentang dulu?

Setakat ini tidak ada sesuatu yang jelas. Apa yang kita tahu sehingga artikel ini ditulis (mengikut apa yang dilaporkan) usul undi percaya akan dibentang dan dibahaskan.

Pun begitu jika usul undi percaya di DUN Perak dibentang dan dibahaskan, pihak yang mengemukakan usul undi tidak percaya khususnya dan mungkin juga mereka yang membawa usul undi percaya akan menggunakan apa yang berlaku di Perak sebagai duluan atau “precedent” untuk mencapai hasrat masing-masing.

Speaker Dewan Rakyat tentunya akan ditekan dan diasak. Seperti yang dikatakan tadi persoalanya ialah jika DUN Perak boleh mengapa Dewan Rakyat tidak boleh?

Akan tetapi kata pemerhati persidangan, Speaker Dewan Rakyat mungkin sahaja boleh menegaskan urusan kerajaan pusat di Dewan Rakyat lebih banyak berbanding urusan kerajaan negeri di Dewan Undangan Negeri.

Ya mungkin beliau boleh berkata demikian. Apatah lagi kuasa sememangnya di tangan Speaker. FMT

 

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published.